Tuesday, April 21, 2026

DI PERMUKIMAN RAMADAN

 



‎DEKLAMASI PUISI DAPAT MENYEMARAKKAN BAHASA KEBANGSAAN DI KALANGAN PENJAWAT AWAM

‎RABU (11.02.2026)

‎ALOR SETAR - Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Sempena Program Tanwir Ramadan 2026/1447H, Pejabat Setiausaha  Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

‎Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Sharhida Nazuha Saad berkata pertandingan ini dilihat sebagai  penggerakkan kepada usaha menyemarakkan Bahasa Melayu di ‎kalangan penjawat awam.

‎"Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada  semua peserta yang  telah menyertai pertandingan ini. Usaha  ini bukan sahaja mencerminkan budaya menyantuni Bahasa  Melayu yang tinggi tetapi juga membuktikan bahawa warga  penjawat awam kita berbakat menganyam pemikiran kreatif menjadi bait-bait puisi yang indah dan wajar dibanggakan.

‎"Pada hari ini, kita menyaksikan suatu pencapaian yang cukup membanggakan apabila penjawat awam yang lazimnya dikenali melalui ketelitian kerja, disiplin masa dan amanah tanggungjawab, tampil memperlihatkan sisi jiwa yang halus melalui karya puisi ciptaan sendiri. Inilah bukti bahawa  perkhidmatan awam bukan hanya digerakkan oleh prosedur dan sistem, tetapi diperkukuhkan oleh nilai, rasa dan kemanusiaan.

‎ 

‎"Lebih bermakna lagi, puisi-puisi yang dipersembahkan pada  hari ini adalah bertemakan Ramadan iaitu bulan yang mendidik  jiwa, menundukkan nafsu dan meninggikan darjat kesabaran  serta keikhlasan. Setiap bait yang dilafazkan sebentar tadi bukan sekadar rangkaian kata yang indah, tetapi pancaran keinsafan, gema muhasabah, dan seruan kembali kepada fitrah  sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.

‎ 

‎"Sesungguhnya, apabila Bahasa Melayu diangkat sebagai wahana menyampaikan nilai-nilai ini, kita bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa, bahasa ilmu dan bahasa peradaban. Bahasa Melayu yang kita warisi ini bukan bahasa yang lemah tetapi bahasa yang sarat falsafah, halus budi dan tinggi martabatnya apabila digarap dengan keikhlasan dan ketelitian," katanya.

‎Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Sayembara Deklamasi Puisi Artistik, Pejabat Setiausaha  Kerajaan Negeri Kedah bersempena Program Tanwir Ramadan 2026/1447H. 

‎Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Organisasi) BPSM, Mohd Tarmizi Saad dan Pegawai Tadbir (Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah) BPSM, Muhammad Azim Zainal.

‎Dalam perkembangan sama, Sharhida mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua peserta yang berani tampil dengan hasil karya puisi masing-masing. Keberanian untuk menzahirkan suara hati melalui puisi adalah  cerminan keyakinan diri serta kecintaan terhadap bahasa dan nilai rohani. 

‎"Bagi saya 27 orang peserta yang bertanding  pada hari ini telah pun mencatat kemenangan yang lebih besar iaitu kemenangan menundukkan rasa gentar dan mengangkat suara jiwa ke pentas yang terhormat ini.

‎"Semoga puisi-puisi yang lahir pada hari ini menjadi saksi  bahawa dalam kesibukan berkhidmat sebagai penjawat awam,  kita tidak pernah melupakan tanggungjawab memartabatkan Bahasa Melayu yang menjadi nilai kemanusiaan sejagat," ujarnya.

‎Mohd Fauzi Md. Isa dari Majlis Daerah Sik telah dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik dengan membawa pulang wang tunai RM600.00 beserta Sijil Penghargaan dan Buku tajaan Perpustakaan Awam Negeri Kedah manakala Mohd Fitri Jamil dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah berjaya mendapat Naib Johan dengan membawa pulang wang tunai RM500.00 beserta Sijil Penghargaan dan Buku tajaan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.

‎Bagi pemenang tempat ketiga yang juga memenangi Penulisan Puisi Terbaik diperolehi oleh Nor Azlin Alyas dari Jabatan Pengairan & Saliran Negeri Kedah dengan membawa pulang wang tunai RM400.00 dan RM200.00 beserta Sijil Penghargaan dan Buku tajaan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.

Sumber: Teks dipetik dari Warta Kedah dan Video diambil dari potongan Video Program Tanwir Ramadan Pejabat SUK Kedah tahun 2026.

Sebagai kenangan dalam hidup saya sebagai seorang penjawat awam dan pencinta penulisan puisi.

Share:

0 comments:

Post a Comment

Labels

Lagu



Blogger templates